Ganti PPSMI tak jejas pelajar

Sebarang pembaharuan dilakukan hanya babit murid baru seluruh negara

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran memberi jaminan sebarang keputusan berhubung program pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak akan menjejaskan kumpulan pelajar sekolah rendah yang sedang mengikutinya.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sebarang program baru jika diputuskan kelak bagi menggantikan PPSMI akan dimulakan dengan kumpulan baru pelajar.

“Apa pun keputusan yang bakal diambil berhubung pelaksanaan PPSMI tidak menjejaskan murid sedia ada kerana kita akan memastikan program baru akan bermula dengan kumpulan baru,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Meja Bulat PPSMI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

PPSMI yang bermatlamat meningkatkan kecekapan pelajar sekolah rendah dalam bahasa Inggeris dimulakan dengan projek perintis lima tahun pada 2003.

Hishammuddin berkata, keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 juga bukan penentu kepada PPSMI, sebaliknya hanya tempoh yang ditetapkan kementerian untuk memutuskan sama ada meneruskan atau membatalkan program itu.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran masih perlu menjalankan pelbagai kajian dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak sebelum membuat keputusan kerana ia membabitkan pelaksanaan dasar kementerian.

“Keputusan UPSR 2008 bukanlah semata-mata petunjuk kerana tujuan kita membenarkan pelaksanaan PPSMI selama enam fasa kerana mahu mengkaji pencapaian kumpulan pertama sekolah rendah yang mengikuti program ini.

“Justeru, kita akan meneliti semua laporan kajian, tinjauan dan pemantauan yang membabitkan pelaksanaan PPSMI sejak tahun 2005 hingga sekarang sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Hishammuddin turut mempelawa mana-mana pihak yang berminat termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menghadiri persidangan meja bulat bakal diadakan pada masa akan datang.

Katanya, pembabitan profesional pendidikan di luar kementerian membolehkan perbincangan mengenai status pelaksanaan, pencapaian, kemajuan dan keberkesanan PPSMI.

Persediaan Menghadapi UPSR

Tiga minggu lagi murid tahun enam akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Apakah persediaan anda sudah cukup untuk menghadapi peperiksaan penting yang bakal mengukur tahap kemampuan anda di sekolah rendah?

Pada masa ini, kebanyakan calon pasti sudah menduduki peperiksaan percubaan UPSR sama ada pada peringkat sekolah mahupun negeri.

Apakah keputusan yang telah diperoleh? Bagaimanakah prestasi anda? Adakah anda memperoleh keputusan terbaik seperti yang benar-benar ada idamkan?

Apapun keputusan yang telah diperoleh, jangan terlalu gembira atau bersedih. Masih ada masa untuk calon memperbaiki keputusan itu.

Peperiksaan percubaan adalah medan terbaik untuk mengukur tahap persediaan dan pemahaman calon dalam menjawab soalan aras UPSR sebenar.

Justeru sebaik memperoleh keputusan percubaan, calon masih ada sedikit masa untuk memperbaiki kelemahan dan memberi tumpuan penuh kepada mata pelajaran yang masih lemah.

Menurut guru tahun enam Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, Cikgu Zamri Hashim, peperiksaan percubaan diadakan bertujuan memberi pendedahan awal mengenai konsep dan bentuk soalan yang akan disoal semasa peperiksaan sebenar.

Katanya, konsep soalan perlu dikuasai sepenuhnya kerana ramai murid hilang markah apabila menjawab soalan tanpa memahami apa yang dikehendaki oleh soalan.

“Biasanya, peperiksaan percubaan diadakan tiga minggu atau sebulan sebelum UPSR sebenar. Jarak masa antara kedua-dua peperiksaan itu memberi peluang murid memperbaiki diri.

“Bagaimanapun, jangan terlalu memaksa diri untuk melipatgandakan latihan dan mengulang kaji kerana ia tidak baik untuk kesihatan.

“Paling penting, murid perlu mendapat rehat yang cukup dan beri tumpuan kepada teknik menjawab soalan. Sekarang bukan masanya lagi untuk memaksa otak dengan membuat terlalu banyak latihan,” katanya.

Guru Sains itu berpendapat soalan yang dikemukakan dalam UPSR sebenar biasanya tidak sesukar soalan peperiksaan percubaan.

Malah, beliau berkata, skala gred pencapaian juga mungkin berbeza berbanding peperiksaan percubaan.

Blogged with the Flock Browser

Isu Matematik, Sains dalam BI ke meja bulat

Isu Matematik, Sains dalam BI ke meja bulat

PUTRAJAYA 9 Julai – Kementerian Pelajaran akan mengadakan persidangan meja bulat bagi mengumpul dan meneliti hasil kajian mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, siri pertama persidangan meja bulat PPSMI akan diadakan selama tiga hari, bermula 14 Julai ini.

Beliau berkata, pengumpulan hasil kajian itu penting untuk membolehkan kementerian mendapatkan gambaran tentang langkah-langkah yang perlu diambil bagi menentukan dasar sama ada PPSMI perlu dihentikan atau sebaliknya.

”Persidangan ini bertujuan meneliti semua laporan kajian, tinjauan dan pemantauan berkaitan dengan pelaksanaan PPSMI pada 2005 hingga 2008.

”Ia akan disertai oleh ahli akademik dan penyelidik dari dalam dan luar Kementerian Pelajaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, antara hasil kajian yang akan dibentangkan ialah pencapaian murid oleh Pusat Perkembangan Kurikulum kementerian.

Beliau menambah, hasil kajian berkaitan keberkesanan PPSMI pula akan dibentangkan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, manakala kajian berkaitan pemantauan kolaboratif PPSMI oleh jemaah nazir sekolah.

”Juga dibentangkan ialah kajian yang dilakukan oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Teknologi MARA,” katanya.

Beliau berkata, peserta yang akan menghadiri persidangan itu terdiri daripada ketua-ketua jabatan di bahagian profesional, penyelidik dan pegawai pelaksana di Kementerian Pelajaran serta IPTA.

”Peserta juga terdiri daripada wakil Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Majlis Pengetua, Majlis Guru Besar dan naib canselor IPTA.

”Saya berharap majlis ini dapat menghasilkan perbincangan yang telus dan objektif serta berfokuskan kepada hasil daripada kajian yang dibentangkan,” katanya.

Blogged with the Flock Browser